Pagi.

Hujan pagi ini benar-benar membuatkan saya terperosok kembali dalam lautan gebar, sesat, terkunci dalam hutan sesak. Nafas saya bagai ditolak tarik oleh dada saya sendiri. 

Dada saya, terasa penuh. Penuh hingga ingin saya muntahkan segalanya ke dalam lubang jamban. Mungkin di dasar air yang telah saya muntahkan, biarpun jijik, ada sebentuk cincin yang saya panggil harapan.

Malam semalam saya ditinggalkan kekasih. Dia melambai ke arah saya, lembut sambil menaiki kapal angkasa, dan berkata dunia kita berbeza. Dan betapa harfiah pun pernyataan itu, tidak mampu saya percaya. Dia yang langsung tidak tahu bagaimana untuk menipu, terus mengungkit betapa kebodohan saya terlampau nyata. Dari mula saya jatuh cinta. Dari mula dia mengucup telinga saya, meskipun bibir saya terbuka separuh, sedia.

Saya merentas duri dan saya biarkan hati saya dilukai oleh gebar dan hutan sesak. Kamar beradu saya sunyi hinggakan saya rasa seperti saya tuli. Saya merangkak ke tali air yang dangkal di hujung kamar.

Dunia kami berbeza. Di dunianya, dia bernafas dalam air. Di dunia saya, saya bernafas pakai udara. Yang dia kurang tahu, kenapa walau dalam udara nafas saya tersekat-sekat bila dia tiada?

Dan terngiang di telinga saya yang dikucupnya, "sebab you bodoh,".

Dan pertama kalinya saya tidak pula mencubit, menidakkan, sambil menarik muka. Saya cuma diam, dan mengaku kebodohan saya. Bukankah langkah pertama untuk menjadi lebih bijak adalah dengan mengakui kebodohan kita?

Saya memang bodoh.

Cincin yang saya rasakan ada di dada, yang ingin saya muntahkan tetapi jijik. Cincin yang saya panggil harapan. Yang kurang saya tahu, harapan itu bercabang dan berbenih sebanyak mana yang saya mahukan ia. 

Yang kurang dia tahu, dia juga bodoh kerana langsung tak mahu mencuba, tetapi masih juga pandai kerana sayangkan nyawa. 

Dunia kami berbeza. 

0 Comments