Adakah malaikat yang datang mendakapku mesra?
Membelai rambutku yang hitam berkilat dalam hujan lebat,
Mengucup bibirku yang tersedu-sedan menahan esak tangis,
Bermain dengan kelopak mataku, kucup lagi bertalu-talu,
Dan aku termangu.

Adakah malaikat yang datang mendakapku mesra?
Kemudian perlahan menyusun jemariku berkumpul dalam genggaman,
Menarikku dengan mata kasihan,
Masuk dalam kamar tidur, 
Dodoikan aku di ranjang sepi, tak biarkan aku sendiri,
Sampai aku beradu dalam sedu.

Adakah malaikat yang datang mendakapku mesra?
Atau syaitan yang berwajah-wajah menggoda?

Kerana aku dah jelak dengar manusia berpesan,
Malaikat dan syaitan dua-duanya berkelahi,
Semata untuk tunjuk siapa lebih hebat dalam meladeni.


0 Comments