" Kenapa sekarang dah tak berhubung?" 

Jemari aku ramas-ramas. Berpeluh. Aku tiada jawapan untuk itu. Kalau dulu, setiap hari aku akan dengar gelak tawanya menerusi Skype, atau membaca responsnya yang sarkastik melalui Facebook, hari ini semuanya sepi antara kami.

Bergaduhkah? 
Terasa hatikah?

Entah. 

Maka yang paling baik sebagai jawapan hanyalah diam.

" Tak rindu ke Yana?" Mata Lily masih pada wajahku yang menunduk. Entahlah, rindukah aku?

Satu rutin yang senang benar aku putuskan, seolah-olah dia tak pernah ada makna. Dia... dah tiada apa-apa.

Sedangkan dulu, dia yang pujuk aku bila aku menangis tiada hujungnya. Dia yang dengar segala yang remeh-temeh. Jari terluka terhiris pisau juga jadi hal besar bila bersembang dengannya. 

Pelik. 

Dulu tatkala malam dan siang kami bertukar, kami masih bisa bertahan. Masih bisa lagi tersenyum walau tidur diganggu bunyi mesej Skype yang masuk, atau bunyi getaran mesej Facebook yang mendesup. 

Tapi hari ini? Bergaduh tidak, terasa juga tidak. 

Kami dah jauh. 

Kenapa? 

Semua orang kata akan tiba masa seseorang akan pergi meninggalkan kita, cuma rasa yang hadir sepeninggalan itu berbeza-beza. Aku, mahu ada rasa. Malangnya aku tiada rasa apa-apa. Seolah-olah dia tak pernah ada. Seolah-olah dia tak ada harga. 

Sekurang-kurangnya, rasa sedih, rasa untuk aku bertahan mempertahankan hubungan persahabatan ini perlu ada. Sampai ke akhirnya bila dah tiada apa-apa yang mampu aku lakukan. Yang mampu aku pegang utuh.

Tapi kenapa begitu mudah kita melafazkan rindu, kemudian terus berlalu? Tak ada sendu?

Jadi entri ini untuk kamu, kawanku. Yang dulu dengar tangisan aku, bila aku ditinggalkan lelaki tanpa mengetahui aku ditinggalkan lelaki. Yang dulu masakkan lasagna untuk aku, walau tahu aku jauh beribu batu. Yang dulu berkongsi cerita, berkongsi rasa.

Yang dulu aku jadi orang istimewa,

Mungkin kau tak pernah tahu, tapi kau juga istimewa buat aku.

0 Comments