Sembilan purnama telah terlihat dek pancaindera. 

Ini, aku, bakal tinggalkan tempat berjihad seketika, pulang ke sarang yang aku rindu. Menekur wajah yang menjadi dambaan hatiku. Entah makin bertambahkah kedutan di wajah? Entah masih samakah manis senyuman? Atau mungkin dah bertambah helaian putih di atas kepala? 

Namun, sebelum itu.

Nah, Brisbane, 

Tulisan ini untuk kau yang enak bermain dengan hati aku. Pulas, tolak, cubit, tarik, sepak, terajang hati aku sesedap rasamu. Sesudah itu, kau pijak-pijak lagi hati yang dah memang tak mampu. Tak cukup dengan luka yang dah memang parah, kau ludah pula hati aku, hina aku, dengan pandangan mengejek, betapa aku manusia yang lembik. Dan ini, tulisan untuk aku bisa menyusun madah yang mungkin tak seberapa untuk engkau. Terima kasih.

Ya, cuma itu sebenarnya yang ingin aku perkatakan. 

Terima kasih.

Saat mula kau melambai, penuh dengan janji manis, seolah-olah semuanya bakal baik-baik saja. Kau sogok aku dengan janji jacarandah ungu yang magis, dengan nama yang gah, dengan kata-kata yang penuh kasih. Kemudian, kau cantas hati aku buat pertama kali. Tetap aku datang kepadamu, dengan tangisan manis berbaur pahit, dengan harapan yang menggunung tinggi, berdoa semoga semuanya akan jadi baik kembali.

Kemudian, tiba saat aku fikirkan, telah aku temukan satu syurga dalam dirimu, kau rampas taman syurga plastik itu daripadaku. Masih aku ingat, bagaimana dalam tangis, aku berdoa sungguh-sungguh pada Tuhan, sudah-sudahlah menduga hati aku yang lembik ini. Kerana aku tak kuat. Sakitnya tak terperi. Setiap pagi, aku buka mata, ada sesuatu yang aku rasa mencengkam hati. Keras. Sampai aku terasa ingin ambil hati aku sendiri dan lihat di mana sakitnya. Biar aku bubuh ubat, tiupkan biar cepat sembuhnya. Tapi aku tahu, itu tak mungkin terjadi. 

Yang perlu aku lakukan ialah tahu keutamaan diri. Jadi, perlahan-lahan, aku belajar untuk tidak mempeduli yang tak berkenaan dengan diri. Hati aku makin kenyal. Biar kau sepak, terajang, sakitnya seketika cuma, tak berpanjangan seperti dulu. Dan aku mampu tersenyum kini. 

Ya, ideologi aku dah berubah. Diri aku pun bukan diri aku yang dulu. Tapi aku, lebih... selamat.

Jadi, Brisbane, ini untuk kau.

Terima kasih untuk sembilan bulan yang aku cuma ada Tuhan untuk menemani. Terima kasih untuk sahabat-sahabat yang benar-benar sahabat sejati. Terima kasih untuk masa bersendiri di tepi padang bola. Terima kasih untuk erti sebenar berdikari. 

Terima kasih untuk aku yang ini. 

Esok kau akan meletakkan aku di tempat mana? Aku harapkan redha Ilahi menemani.




1 Comments