Untuk sekali ini aku ingin menjadi kebencian, narsisis yang semuanya berpusat kepada diriku sendiri. Biar perasaan aku dibahas, diperinci, ditulis dengan penuh lenggok bahasa, bunga kata. Biar semuanya tentang aku. Usah kita jeling-jeling pedestrian di kiri kanan, biar aku yang memandu pusaran kata, biar ditabrak, berlanggar segala hati-hati yang ada. Biar aku menjadi betina bangsat yang tak ambil pusing setiap kesan dan konsekuensi yang wujud.

Biarkan aku.

Selama ini akulah yang penuh berhati-hati mengatur langkah, menyusun abjad demi abjad, sedang hatiku mati dengan kesakitan. Ada tasik jernih di muka hitam, bergenang. Bibir bergetar, senyum terlempar. Kasih sampai sudah pun takkan tersampai. Rindu sampai sudah pun takkan tertulis, terakam dalam warkah-warkah hitam.

Itu aku dengan bisu berkampung di lidahku, sedang akulah rakyat di negeri perasaan.

Maka untuk sekali ini, biarlah aku menjadi kebencian.

Catatan ini aku tuliskan untukku. Bukan lagi untuk anak-anak di negeri yang tak pernah aku lihat dukanya. Bukan lagi untuk bunga-bunga yang aku tak pernah dengar tangisnya. Bukan lagi untuk decit kaki jejaka yang kononnya perit, kononnya sakit, sedang aku merawat luka, sedangkan akulah hamba di negeri perasaan. Rakyat marhaen, tangis perit duka.

Aku, aku!

Sudah, sudah! Jangan katakan betapa aku penting diri. Betapa aku tidak bersyukur. Betapa aku betina yang langsung tahu gelap, sedang bintang berjuta di cakerawala. Dengan bulan yang membiaskan cahaya, masih lagi aku buta.

Sudah!

Jangan lagi berani-berani beritahu apa yang harus aku rasa. Jangan kau berani-berani berkata bahawa maduku masih ada, sedang kumbang sudah habis menyeri. Aku bunga, yang masih lagi bugar, dan dia adalah jejaka yang bangsat, tak langsung perlu diwajari untuk aku tangiskan.

Biar aku menjadi narsisis.

Aku enggan dengar semua nasihat-nasihat kamu. Enggan.

Maka catatan ini adalah apa yang aku rasa. Catatan ini untuk aku.


0 Comments