Usah kita katakan tentang cinta.
Betapa tanpa cinta itu, kau akan karam bagaikan karamnya kapal Van der Wijck di lautan. 

Aku muak. Muak dengan perasaan dan cinta yang akhirnya akan membawa kepada lemahnya aku dan perasaanku. Betapa cinta itu bisa bikin aku jatuh lagi dan lagi, jatuh yang tiada terbangnya.

Maka untuk sekian kalinya, usah kita katakan tentang cinta seklise itu.

Yang harus kita bicarakan ialah betapa bunga masih lagi berkembang tanpa lemah perasaan yang sebegitu. Awan masih lagi putih seperti kapas yang suci bersih. Dan langit masih lagi biru. Biru seperti lautan di atasku, luas tapi masih lagi belum mengaramkanku, masih lagi tak menghempapku, Tiang-tiang masih lagi belum runtuh, roboh dan jatuh. Burung-burung masih lagi berkicau. Mesra dan bercium dengan cacing di paruh mereka. Dan mentari, masih lagi menyapa hangat wajahku, mengintai sembunyi-sembunyi lewat jendela yang aku tutup rapat. 

Seolah-olah mereka mengejekku, ah, satu lagi adegan patah hati. Cuma itu.

Planet masih lagi pada paksinya, dengan megah berputar dan mengelilingi mentari. Masih lagi menghisab hari, sedetik demi sedetik, setiap darjah dengan teliti. Kejora masih lagi berada di kejauhan yang infiniti, tidak pula merapat dan akhirnya membakar diri sampaikan bumi dan tumbuhan semuanya mati. Dan setiap bintang tidak pula jatuh dari orbit, berlanggaran antara sesama sendiri.

Dan kau masih lagi bisa menulis kisah-kisah patah hati. 

Perempuan yang patah hati bisa saja bersinar suatu hari nanti, apabila setiap serpihan di tangannya bisa dikutip satu persatu dan disambung-sambung dengan emas dan permata. 

Jadi, ada apa dengan seorang lelaki berkulit hitam manis yang endorfin dan dopaminnya tidak merembes pada detik yang sama denganmu? Ada apa dengan lelaki yang tidak bisa berdansa denganmu apabila kau asyik dengan langkah kakimu yang bergerak ke arah hidup yang kau mahu? Ada apa dengan seorang lelaki yang tak bisa menyanyikanmu lagu perasaan dan senandung rindu pada waktu dan nada yang seharusnya?

Kerana semesta masih lagi seperti biasa. Masih lagi tersenyum padamu dengan ceria, dan seolah-olah berkata kasihku masih lagi padamu, wahai srikandi pengharapan. Cuma hatimu saja yang tunggu masa disembuhkan oleh Pencipta.

Dan kerana cinta masih lagi ada di mana-mana. Waktu matamu terbuka pada setiap Subuh, dan malaikat mengembalikan rohmu ke ubun di kepala, mencium pergi kantukmu yang bisa-bisa saja menjarakkanmu dengan Tuhan. Waktu Tuhan memelukmu dengan ayat cintaNya. Waktu sahabatmu memelukmu erat dan menyatakan cinta, dengan air mata.

Bahawa kau sebenarnya lebih dari satu pengucapan cinta. Bahawa kau sebenarnya lebih dari pencarian lelaki yang entah ada entah tidak. 

Kau lebih dari itu semua.

Kerana kau srikandi dunia, yang menyebarkan cinta. 

0 Comments