Setiap hari dia berjalan melata ke serata dunia, mencari setitis awan untuk disimpan di dalam balang kaca. Setiap hari, dia tekun menekur satu persatu awan yang ada, kalau-kalau ada setitis yang masih belum dalam himpunan balang kaca yang jernih, tanda setiap titik jerih.

Katanya, dalam setiap balang kaca jernih, setiap titis awan yang diguris dari kelompok mega yang tak terluka oleh setiap hiris, ada cerita tersendiri yang takkan mampu dilukis. Takkan mampu tertulis. Yang ada cuma rasa yang terlalu dalam setiap balang kaca, hinggakan walau satu sentuhan mampu bikin manusia ketawa menggila, atau menangis bermuram durja. 

Dia pengumpul awan yang setia, merekod setiap satu rasa dalam setiap titis awan yang ada. 

Aku bertanyakan kepadanya, mengapa awan? Mengapa tidak yang lain? 

Dan dia katakan kepadaku, kerana aku mengingatkannya pada awan yang sederhana, walaupun megah di atas langit. Awan yang tak mengerti betapa dirinya membuat yang lain bahagia. 

Dan aku mengerti kini betapa dia mula mengumpul awan dalam setiap pandangnya kepadaku dari jauh. Waktu mataku tekur memandang tanah, tak terlihat pandang yang lain.

Tapi aku bukanlah awan yang sederhana dan megah dalam sekali definisi.

Dia ternyata dah silap mentafsir, kerana aku bukan awan yang mampu memeluk kehampaannya dan hatinya yang kerapkali terluka.

...

0 Comments