This was a letter that I dedicated to my dad (hoping that he would never read it).

Selamat hari lahir.

Entah bila kerut dahimu jelas ketara. Yang aku sedar, tiga tahun lepas waktu pertma kli aku benar-benar renung wajahmu, berfikir entahlah tentang apa-apa. Dan waktu itu menungmu panjang, tak terlangkau dek masa.

Bibirmu yang masih kekal merah, mungkin kerana manis ciuman kami pada dahimu yang berkedut, meresap jauh ke dalam darah. Dan manisnya, (aku harap) sampai bila-bila tak akan pudar, kekal terletak merekah di bibirmu yang merah. Macam kelopak mawar merah yang segar basah.

Entah matamu pernah basah malam-malam bila lena jadi teman kami. Macam hujan pagi lebat yang tak terlihat kecuali oleh Subuh yang gelap pekat. Maka ingin aku jadi sinar mentari pertama yang sembunyi-sembunyi mengeringkan basahnya bumi. Biar yang ada cuma embun tanda dingin pagi. Tak lagi hujan yang diam-diam membanjirkan derita.

Separuh abad Tuhan biarkan kau bersemayam di muka bumi, dipinjamkan kepada kami. Suatu hari nanti, tanpa sedar, masa terus berlalu bersama molekul udara yang berserak ke dalam dada, dan akhirnya tiada. Terhenti degup untuk satu ketika yang dah Tuhan janjikan pada detik pertama.

Waktu itu, aku harapkan bibirku kekal manis mendoakan semoga kita bertemu dalam syurga yang terlebih manis. Dan pertemuan itu juga manis, kerana buat pertama kalinya, kucupmu yang manis, basah dengan air sungai susu dan madu. Dan dahiku terasa manis, sampai merah bibirku berkilat tak tertahan oleh sayangmu yang lebih manis dari kucupku di dunia.

Selamat hari lahir, Abah.

0 Comments