" Aku dulunya perempuan yang suka menyendiri, kerana aku suka masa bersendiri.
Waktu yang aku fikirkan tentang kedalaman lautan dugaan, atau ukur keliling atmosfera kehidupan.

Kemudian masyarakat datang, dan membawa aku keluar dari fasa itu. Fasa untuk aku berfikir,"

" Kau dipaksa keluar dari kematangan kau?"

" Tidak, aku dipaksa keluar dari realiti ngeri aku, dan fokus pada mimpi indah orang lain. Mereka berkongsi tentang rasa dan kata yang selama ini aku cuma dengar dari kejauhan. Mereka tarik tangan aku, untuk pinta aku rasa lembut air laut bila menyapa kaki dan gemersik bayu yang membelai kulit. Tapi iya, semua itu paksaan. Pada mulanya, mungkin.

Untuk aku keluar dari satu posisi keselesaan telah menyelimuti qalbu aku, bukan mudah. Perit itu ada. Selalu. Sampai sekarang, kalau aku patah balik memori, sakit itu masih ada. Dan yang menarik tentang itu, aku bersyukur kerana aku rasa sakit,"

" Sakit yang menghancurkan diri kau sendiri? Seolah-olah kau tak punya hati?"

" Jangan terlampau menghukum. Sakit itu tak menghancurkan aku. Aku diajar. Dan proses belajar itu memang sakit. Dan aku tak hancur. Ini aku ada, masih lagi ada sampai sekarang, dan aku harapkan keberadaan aku akan masih berasa, tak terlingkupkan oleh definisi sempit ruang dan masa. Kerana itu, aku belajar. Dan perlu juga aku beritahu, sakit dan nikmat itu berpasangan. Kalau kau terasakan sakit itu, pasti kau boleh rasa nikmat juga.

Tapi kita selalu hanya fokus pada satu. Sakit.

Jadi bila aku rasa sakit, aku tahu aku juga boleh rasa nikmat dalam sesuatu. Dan aku bersyukur kerana itu,"

" Dan sekarang kau jadi perempuan yang cuma mengikut? Tak tahu berfikir?"

" Tidak, aku jadi perempuan yang tahu berfikir mengikut norma masyarakat dan situasi. Aku jadi perempuan yang sensitif terhadap perasaan. Aku jadi perempuan yang mencari jawapan, dan jawapan aku sendiri ada pada apa yang aku lihat dan rasa. Aku jadi... manusia, bukan hanya perempuan sekarang.

Dan aku harapkan dengan kemanusiaan aku itu, aku mampu untuk memberi sayang pada manusia lain. Dan aku masih berfikir,"

0 Comments