Aku cuma seorang gadis yang dipenuhi tanda soal pada dirinya. Agaknya itu yang orang rasakan ada pada aku.

Aku bukan gadis misteri, taulan.

Aku gadis yang paling senang dibaca pergerakannya, paling mudah  diaturkan langkahnya, paling cepat disentuh hatinya, tapi kau merasakan akulah gadis paling rumit. Tak mahu berkongsi cerita, tak mahu memberi rasa, tak mahu membuka bicara.

Aku bukan gadis sebegitu.

Dua purnama tak mampu membuatkan aku lebih terbuka dalam menjadi diri sendiri. Mungkin khuatir, nanti akan ada yang membenci. Benci cara aku, benci kata aku, benci keterbukaan aku dalam terus bersuara menyatakan apa yang terpateri dalam hati.

Beri aku masa.

Dan mungkin juga aku kerap membayangkan, kalaulah aku di tempat lain, bukan tempat ini, bukan tempat yang menyeksa raga aku, namun anehnya, memberi senyuman pada diriku pada masa yang sama.

Mungkin aku rindu. Rindu untuk berasa lebih bebas dalam mengekspresikan diri, lebih bebas untuk bergaduh dengan teman aku dengan satu fakta yang kami sedia tahu, kami pasti akan berpelukan esok harinya. Mampukah kau bagi aku jaminan itu?

Mungkin juga aku penat. Penat dalam menjaga hati. Bukan hati aku, tapi hati orang lain yang aku rasakan tersentuh dengan setiap tindakan aku. Aku menyentuh butang sensitiviti dalam hatinya tanpa aku ketahui. Aku, jujurnya takut pada hal itu.

Kerana aku tak cukup yakin bahawa aku cukup baik untuk memberi diri aku pada masyarakat. Untuk masyarakat menilai dan menghakimi, oh, ini bidang yang perlu dia perbaiki. Aku tak cukup berani untuk berdebat kerana aku takut pandangan aku lain dari yang lain. Kerana itu sentiasa halnya, setiap kali, tapi mereka terima aku selepas berkali-kali aku memaksa, berkali-kali aku memeluk mereka, berkali-kali aku meminta pelukan, menagih kasih dari mereka.

Dan untuk memulakan ini sekali lagi? Aku perlu waktu.

Aku bukan gadis yang penuh tanda soal, aku cuma gadis yang takut berdepan dengan penghakiman total.

1 Comments

  1. ohhh serius aku br tau kewujudan blog ni. serius rindu nk baca tulisan kau. hehe

    ReplyDelete