Kalau orang perlakukan aku sebagaimana sekalipun, kalau aku serabut dengan apa masalah sekalipun, kalau aku geram dengan situasi mana pun, bila dia bersuara dari hujung dunia, mula mengadu,

" Long, Kak Ngah stress tau, baca tak masuk-masuk. Kak Ngah tak larat dah,"

Pasti aku tolak semua perkara ke tepi. Aku hadiahkan sepenuh nikmat dengar aku kepadanya, perhatikan tangisannya melalui telinga. Pandanganku pun mula kabur.  Tapi aku gagahkan juga berkata,

" Relax lah Ngah. Buat je macam mana pun Kak Ngah boleh buat,"

Aku pinta sungguh-sungguh dalam hati supaya suaraku yang menggeletar tak begitu ketara getarannya. Aku berdoa sungguh-sungguh dia takkan tahu bahawa aku pun sedih mendengar dia begitu.

Kemudian, dia menangis.

Aku tak tahan, sungguh.

Tapi, tangisannya sekejap cuma. Dia menangis, kemudian dia lap air mata sendiri. Dan ketawa.

Aku tahu makna ketawa itu. Tapi aku tak mampu nak kata, tak apa kalau nak menangis lagi. Kakak ada di sini. Kakak tahu jerih perih Kak Ngah. Kakak tahu Kak Ngah buat semua ni untuk keluarga. Bukan untuk diri sendiri.

Aku tak ada upaya, tak kuat untuk kata-kata itu. Sebab nanti, aku yang banjir dengan air mata.

Bila suaranya tak terdengar lagi, baru aku menangis. Aku tak tahan tengok dia susah begitu. Tak tahan tengok dia sedih begitu.

Dia adik aku.

Diam.

Aku nak balik.

0 Comments