Kopi dah jadi satu klise yang seringkali digandingkan dengan idea atau buah fikir tengah malam. Saat hujan mencurah, dan kau sendiri, menanti ilham datang dan kau tak ketiduran. Menanti dan menanti.

Tunggulah kau sampai mati.

Ilham itu ada di mana-mana. Seperti mana kekuatan ada dalam mata sang ibu yang redup menatap wajah anak remaja yang tak mahu mendengar satu patahpun kata nasihat. Seperti mana di setiap lirik lagu kau menemukan dirimu di sudut paling dalam, yang kau sendiri tak pernah menyingkap dan merasa, ah itu sebenarnya. Seperti mana kau baru menyedari kau penat sebenarnya dengan cinta, yang seringkali diucap-ucap, dengan setiap niat moga-moga tiada lagi hati yang terluka kerana cinta, sedangkan memang cinta itu sifatnya melukakan.

Nah, itu semua ilham.

Terluka itu ilham. Bunga berkembang itu ilham. Ranting kering itu ilham. Daun hijau biasa, yang tiba-tiba turun berlabuh di pelipismu, lembut dan menenangkan. Itu juga ilham.

Kita bermimpi, dalam mata yang jaga celik terbuka tanpa menuliskan setiap ilham-ilham ini. Tanpa merekodkan momen-momen ini, Tanpa benar-benar hidup, tanpa benar-benar tersenyum atau ketawa. Tanpa benar-benar bercinta.

Kita tutup saja perasaan kita. Tak pernah benar-benar bercinta, tak pernah benar-benar terasa.

Kata orang, emosi itu meranapkan. Jangan terlampau gembira kerana akhirnya menangis jua.

Mengapa tidak kita benar-benar merasa? Kalau yang berlabuh di pipi itu mutiara jernih, rasa semuanya untuk momen itu. Cuma untuk momen itu dan bergerak. Jauh. Kerana masa tidak pernah statik.

Seharusnya kita juga begitu. Rasa dan bergerak. Rasa dan bergerak.

Tapi manusia, susah untuk keluar dari satu safe haven, dan seringkali juga ia terlupa, betapa kita semuanya bukan benar-benar di sini untuk selamanya.

Maka, aku katakan pada diriku sendiri, bergeraklah Farah Liyana.

Tuliskan ilham ini, tuliskan setiap perasaan ini, kemudian bergerak dari situ. Kesengitan perasaan itu kau botolkan, simpan untuk suatu masa di mana akan ada manusia lain yang memerlukan. Akan ada masanya kau sendiri memerlukan.

Moga-moga ada suatu hari yang Tuhan lihat ilham dan perasaanmu ini dan Dia akan tersenyum dengan kunci syurga di tanganNya buat dirimu.

0 Comments