" Ruang sempit terbuka, 
Tapi hati kau sama luas seperti yang lalu,"

Teratak yang dulu Abah katakan impian Abah aku tenung. Walau hanya dalam sekeping kertas. Sekeping kertas berwarna. Aku tak sangka, aku sungguh tak sangka bagaimana aku cuma mampu renung teratak itu. Mahu mencurahkan rindu, tapi sungguh tiada daya untuk aku tiba-tiba mencapai telefon bimbit yang letaknya cuma di tepi.

Ah, Liyana. Kau, kau terlampau emosional.

Tak sangka juga sudah hampir lapan bulan aku tak melihat wajah Mommy dan Abah. Kalau dulu, saban minggu pasti akan ada Mommy dan Abah di sekitar ruang asrama, menanti aku, untuk bertemu. Ya, mahu katakan aku anak manja? Aku tak kisah. Memang aku manja. Tapi aku manja hanya pada yang layak melihat manja aku yang bagaimana. Jadi, ya, aku manja.

Dan dalam manja itu juga, aku dah terbiasa untuk memberi ruang aku untuk mandiri kepada orang lain. Biarkan Mommy dan Abah menyediakan segala. Tanpa perlu aku fikirkan apa-apa. Mahukan laptop? Tak perlu aku merayu, mengerah keringat untuk menyediakan wang. Makanan? Sentiasa tersedia. Baju? Lebih dari yang cukup, meskipun kadangkala, Abah merungut dengan cara pemakaian aku yang agak... kampung.

Tapi, aku tak kisah. Jujur, aku tak kisah. Kerana aku tahu Abah katakan semua itu kerana sayang. Abah, orang yang mungkin paling sayangkan aku. Aku masih ingat, waktu usiaku baru mencecah 14, aku selalu pitam di sekolah. Tak mampu untuk berdepan dengan tekanan, barangkali. Dan Abah dah Mommy akan menjenguk aku, kadangkala setiap hari dalam seminggu. Mereka, mereka, mereka wonderwalls aku.

Saat semua orang mencela aku, tak percayakan hati aku, Mommy dan Abah akan sentiasa ada di sisi, katakan betapa mereka bangga, bangga yang sungguh melihat aku sebagai anak mereka. Mereka tahu betapa aku berusaha untuk semua ini. Meskipun, kadangkala aku terleka dengan emosi sendiri. Mereka terima kekurangan aku. Terima kata-kata aku. Terima nasihat aku, meskipun aku cuma anak.

Mereka sayangkan aku.

Dan di sini, aku tak rasa sayang yang begitu. Takkan ada orang yang akan ke universiti, waktu hujung minggu, cuma untuk berikan aku waktu rehat (ya, aku study-holic). Di sini, aku belajar untuk menerima pandangan orang terhadap aku. Ada yang suka, ada yang tak berkenan. Ada yang tak mampu menerima.

Tapi Mommy dan Abah sentiasa terima aku. Sentiasa.

Walaupun ada saatnya aku sengaja menguji kesabaran Abah. Ya, cuma aku yang berani buat begitu. Abah cuma pernah marah sampai tak terkata dengan aku. Aku ingat lagi. Bibir Abah terketar. Marah. Tapi Abah diam.

Walaupun saat Mommy terasa bila aku tak mahu membawa Mommy ke Eropah walau cuma dalam mimpi. Akhir sekali, aku yang menangis.

Aku rindu. Aku rindu untuk berada dalam atmosfera di mana aku tahu bahawa semua orang menerima aku seadanya. Di saat mereka sedar kurang aku, dan tunjukkan, dan boleh ketawa atas kekurangan itu.

Aku rindu.

Aku rindu rumah.

0 Comments