Denting sudu kecil dengan piring membawa kita pada satu kesenyapan yang membunuh. Kerana kita berdua sudah lebih dari tahu betapa sebelah hati kamu bukan lagi di sini. Dan kesunyian ini wajar diisi dengan kata-kata yang menikam perasaan, menuntut perhatian.

Namamu bukan bersebelahan dengan namaku lagi. Ada orang lain yang mengganti.

Ucapan " aku tak lagi cinta padamu" menyeksa walau belum terzahirkan.

Tapi denting waktu buat kita tergesa, kerana kita tahu betapa yang belum terzahirkan itu makin lama makin menghakis rasa kemanusiaan dan memori bersama.

Kita berdua tahu, cuma kita mahu satu penutup untuk sesuatu yang kita berdua mulakan.

Lantas kau mulakan satu pengakhiran.

" Kita lebih baik bertukar haluan," matamu tak memandang wajahku. Tak lagi rakus melihat ke dalam anak mataku dan mencari rasa cinta. Dan aku tunduk menuntut ketenangan dari kopi hitam pekat yang boleh bikin aku resah, tak ketiduran.

Nafas kamu yang jadi candu pada hari-hari aku, manis bibir dan pandangmu yang dulu hanya untuk aku, terasa diragut dari darahku, meninggalkan aku nyawa-nyawa ikan. Tersedu yang aku sembunyikan.

Ah, dulu kau boleh bernafas sendiri, kenapa sekarang terasa udara seakan mati? Pujuk aku pada diri sendiri.

" Kau, dah ada yang boleh bikin bahagia di hati? Selain aku?" angguknya tak langsung mengejutkan. Tetap sakit, perih melingkar hati. Tapi semua dah jelas dari sikapnya yang langsung tak ambil peduli.

Bercinta konon akan menyetia sampai ke mati. Tak usahlah aku tipu lagi diri sendiri. Betapa setiap panggilan telefon yang tersekat-sekat, mesej yang tak terbalas, rajuk yang tak terpujuk. Hanya kerana kamu sibuk.

Kita dah tiba ke titik akhir, tak ada lagi jeda.

" Kenapa dia?" Bodohnya pertanyaan itu kedengaran. Tapi kenapa dia? Kenapa tidak aku yang sampai sekarang masih mencinta? Apa kurangnya aku?

Jawapan klise. Untuk soalan klise aku.

" Semuanya terlampau cepat,"

Takkan cepat kalau kau tak ambil nombor telefonnya, kemudian kau telefon dia pada malam-malam buta, atas sebab mahu menenangkan raganya yang terluka. Sedang aku yang terluka jiwa, tak pernah kau beli lagi dengan kasih sayang ikhlasmu yang dulu. Kau takkan mungkin mampu membagi rasa. Takkan sama rata.

Aku yang ada dalam hidupmu terlebih dulu, kau lemparkan ke tepi, biarkan sendiri. Macam kain buruk yang dah terkoyak rabak tak berguna lagi.

Kalau sampai sudah aku tanyakan, kau pun takkan ada jawapan. Jawapan yang memuaskan.

" Kau pernah mencinta?" angguk.

Entah bagaimana erti bercinta padamu kalau tak setia. Untuk apa semua yang ada, setiap hadiah dan kata-kata kalau akhirnya begini.

" Aku sendiri tak menyangka,"

Bullshit. Kau yang mencari. Takkan dia datang padamu kalau kau tak meladeni.

Namun, setiap kebisuan aku yang berisi, tidak kau ketahui. Sebab aku terlampau matang untuk membahaskan soal hati yang dah memang beralih arah. Untuk apa lagi semuanya? Kalau kau memang dah tak mahu sama aku, untuk apa lagi aku pertahankan perasaan aku sendiri?

Petang itu, kopi kita dingin tak dijamah. Tak cukup masa untuk bersenggama mesra dengan bibir aku yang terketar menahan tangis. Dan kau dah berlalu pergi, tanpa kata maaf atau kesal semuanya dah beralih arah.

Dingin kopi itu, sama dingin macam hati aku.








0 Comments