Lagu itu masih berputar dalam kepala aku. Masih kekal berpusing ligat. Mungkin kadangkala apabila terdengar Demi Lovato menjerit nyaring, atau suara Joe Jonas bersaing membuatkan aku berputar kembali, menapak ke masa lalu. 

Membuatkan aku terfikir.

Bagaimana kalau satu lagu mampu tarik kita pada momen itu? Tak, aku tak berbicare figuratively, tapi literally. 

Bagaimana kalau aku diam dan masih kekal diam sampaikan dari lubuk hati aku paling dalam, aku berdoa sungguh-sungguh supaya Tuhan perkenankan cuma satu mohon aku? Aku mahu hidup aku seperti kaset yang boleh aku rewind, dan kemudian aku padamkan dengan lagu lain. Aku rakamkan lagu yang lebih gembira, lebih bermakna. Aku putarkan lagu jatuh cinta, dan kasih-suci-sampai-matipun-aku-tak-kisah-asal-kau-di-sisi dan lagu-lagu itu akan overwrite dalam kaset aku. Bertindan dengan memori sedih dan lagu putus cinta.

Memang terlampau fantastik segala dongengan yang aku reka ikut hati sendiri.

Tapi bagaimana kalau suatu hari, perkara sebegini terjadi?

Bagaimana kalau aku ada peluang kedua untuk tak jatuh cinta dengan kau kemudian ada pula peluang untuk berikan kau tamparan dari mula? Beritahu engkau memang lelaki tak guna. Buang minyak wangi Givenchy yang kononnya kau beli dari Paris, atau MP3 yang kau rakamkan pula dengan suara kau, kononnya biar aku mimpi yang manis-manis. 

Dan kita putar kembali pada saat aku bermimpi yang pergaduhan kita macam pergaduhan kekasih dalam TV. Sekejap cuma kemudian kau akan kembali. 

Dan kita bercinta sampai ke jinjang pelamin. Sampai suatu hari kau datang bertemu dengan Abah aku minta tangan aku untuk kau jadikan isteri. 

Kita, bermimpi hidup macam putera-puteri.

Hakikatnya, kalaupun kaset aku mampu diputar kembali, dan aku mampu overwrite lagu gembira di balik momen sedih ni, aku sendiri tak tahu lagu apa yang aku bakal pilih. Lagu penuh marah kerana kau yang tak tahu menghargai, atau lagu cinta supaya kau cintakan aku kembali?

Sebab aku sendiri tak tahu apa sebenarnya mahu aku. Bukan sahaja dulu. Sekarang pun. Aku masih bertaruh hati dengan kau kah? Atau kau sebenarnya dah tiada. Langsung. Tiada.

Entah, beritahu aku.


0 Comments