Perlahan-lahan aku bertatih.
Satu.
Dua.

Jatuh.

Tiga.
Empat.

Jatuh.

Lima.
Enam.
Tujuh.

Jatuh.

Tapi sekurang-kurangnya aku bangkit semula. Aku cuba bertatih lagi. Walau perlahan. Tapi aku ada satu kelemahan.

Huluran tangan seorang pun tak ingin aku capai. Takut nanti dah bersandar enak, dia tinggalkan pula aku tersungkur di jalan. Dan waktu itu, sudah manja, sudah terlampau bergantung pada pertolongan, aku tak tahu bagaimana nak merangkak. Sendiri. Mandiri. Berdikari.

Manusia terlampau mengecewakan. Aku terlampau mengecewakan. Tak mampu sayang tanpa mengharapkan perhatian. Tak mampu berikan cinta pada orang yang paling memerlukan. Kerana hakikatnya, aku sendiri takut untuk disakiti.

Aku...

Hmm.

Di sebalik dinding kebal yang aku dah teguhkan, entah kenapa aku masih mengharapkan seseorang yang cukup berani untuk ketuk dinding, tanyakan hati aku, kalau aku perlukan kasih sayang, kalau-kalau aku perlukan perlindungan.

Tipulah kalau aku katakan yang aku tak pernah ada rasa ingin menjadi isteri, dilindungi dan dikasihi. Bohong kalau aku utarakan hujah bahawa aku lebih rela berdikari, tak perlukan sesiapa di sisi. Walaupun dengan misi aku untuk lebih berdikari tanpa sokongan orang di sekeliling, atmosfera aku masih dipenuhi dengan udara yang perlu aku bergantung. Itu analoginya. Aku masih perlukan seseorang. Tempat aku bersandar bila aku perlukan perhatian. Sengaja mengada mahu manja-manja.

Aku masih lagi seorang manusia yang lemah. Perempuan yang mudah kecil hati.

Ada beberapa ketika aku angankan, kalau-kalau ada seseorang sanggup berkorban masa dan kudrat semata-mata untuk bertemu mata dengan aku. Kalau-kalau ada yang mahu menjejakkan kaki ke dalam burung besi kerana rindu.

Ah, aku masih seorang perempuan.

Walaupun aku dah gariskan perlunya berdikari dan cuma mengharap pada Ilahi, kenapa aku masih hendakkan kebergantungan pada seseorang di sisi?

Terasa bodoh saat ini.

0 Comments