Langkah kaki aku orak ke kamar Quya. Tanpa ketukan di daun pintu, aku terus masuk ke kamar Quya, dengan senyuman yang aku buat-buat.

Detak jantungku seolah-olah tak mahu memperlahan dan menenangkan.

Quya, sepertimana yang telah aku duga, sedang berbaring dengan telekung kelabunya di atas lantai beralaskan sleeping bag dan berselimutkan comforter. Menanti waktu Isyak yang mungkin dalam 20 minit lagi. Memang sudah begitu tabiat Quya. Usai Maghrib berjemaah dan membaca Al-Quran beserta maknanya, Quya akan berbaring seketika, mungkin juga sambil-sambil bergurau dengan Achik atau Naylaa.

" Liyana," suara Quya gemersik memanggil namaku. Mata Quya yang pada mulanya tertutup, terbuka luas, memperlihatkan anak matanya yang hitam bersinar. Cantik. 

" I nak baring sebelah you, boleh?" tanyaku. Quya mengengsot ke kanan, dan memberi ruang untuk aku letakkan kepala di bantal yang sama miliknya. Aku mendekati Quya dan berbaring di sebelah kiri Quya. 

Sepi. Quya senyap, aku juga tak tahu apa yang harus dibicarakan. Kami cuma berdiam diri, seolah-olah masing-masing punya telepati yang sudah mengerti isi hati. 

Malam itu dingin, sedingin hati aku.

Aku menarik comforter Quya, cuba menyelimuti tubuhku. Quya membiarkan perlakuanku. Penuh redha.

Malam masih dingin. Aku masih terasa kesejukan yang mencengkam nubariku,

" You ni kenapa, Ili Liyana?" Quya memecahkan kesunyian. Hujung mataku cuba-cuba mengikuti jejak emosi di wajah Quya. Halimunan. Quya memandang siling rumah, dan aku terketar menahan kesejukan yang aku syaki bukanlah dari kedinginan malam. Tapi kedinginan dari hatiku yang tak tahu apa lagi yang perlu dipertahankan. Hatiku yang keliru dengan semua yang berlaku. 

" You mesti tak tahu kan, Luke dah kahwin?" kataku dengan suara yang tertahan, tanpa memandang Quya. Quya terus terduduk, dan memandangku dengan matanya yang bulat. Bibirnya sedikit terbuka, terketar, mungkin cuba untuk memikirkan apa yang seharusnya dikatakan kepadaku. 

Aku tersenyum kecil, menahan esak. 

" You tahu dari mana?" akhirnya, Quya menemukan suaranya setelah beberapa detik. Quya sudah duduk bersila, dengan matanya terus memandang ke dalam mataku. Aku katup mataku rapat-rapat. Tak mahu emosiku terbocor. 

Perlu bijak mengatur emosi, Ili Liyana.

" Dia kenalkan dengan Sophea minggu lepas, masa Arif jemput mereka di airport Gold Coast. Kan I dengan Sarah ikut Arif, sekali? Arif takut mengantuk pagi-pagi, jadi dia perlukan teman," setiap pernyataan meluncur laju, tersusun dan tenang dari dua ulas bibirku. Tapi hatiku masih lagi terasa dingin.

Aku pandang wajah Quya, dan aku rasakan mata Quya masih tepat pada mataku. Perlahan-lahan kedengaran nafas panjang dihela oleh Quya. Quya meraup wajahnya.

" Patutlah you asyik emo dua tiga hari ni," Quya berbisik perlahan.


0 Comments