Mungkin hari itu kau umpamakan aku selayaknya pari-pari,
Kalis sakit, cuma ada cantik,
Dan aku pun memainkan watak, tersenyum manis,
Dalam mataku ada luka,
Tak tertahankan pedih.

Aku diamkan, 
Sepi,
Bisu.
Sendu.
Masih tersenyum bila kau membisu meski buat kali terakhir.

Mungkin juga hari itu, kau umpamakan aku malaikat,
Singgah sebentar di duniamu untuk membahagi rahmat,
Dari Tuhan, kepada hatimu yang sarat dengan perasaan,
Yang leka dengan kecantikan,
Sampaikan tak ternampak yang berduka di sini. 

Di sisi.

Kalau semua itu aku kau umpamakan,
Salahkah bersyukur sedetik, lihat aku sebagai agen dari Tuhan?
Apresiasi sekejap, betapa hadir aku jadi pertolongan,
Berterima kasih kerana aku jadi teman?

Kalaulah aku malaikat mahupun pari-pari,
Takkan aku cium pipimu dari kejauhan,
Mengharap penghargaan,
Betapa aku hadir di situ walau untuk sedetik waktu.

0 Comments