Kau bisu, mana aku tahu. Kau mencebik, kau fikir aku tahu bahasa badan kau? Aku cuma mampu menterjemah, tapi aku tahu mungkin banyak terjemahan aku yang salah.

Cuba kau beritahu, ada yang aku lakukan mengguris hati kau? Ada yang aku titipkan menghiris kalbu engkau? Ada yang aku perlakukan mencabar iman kau?

Ya Allah, jujur aku mahu tahu. Jujur juga aku mahu kau faham, itu bukan nawaitu aku. Aku mohon ampun, beribu kali. Sanggup juga aku sujud di kakimu dari kau perlakukan aku begini.

Aku mohon maaf.

Benar- benar mohon maaf.

Hati kau, bila terguris, merabakkan hati aku juga. Kita mungkin tak akrab mana, tapi aku tahu kau sangat menjaga. Menjaga hati aku, juga hati-hati orang lain di sekelilingmu.

Ini salah aku. Bertutur tak kena cara. Bergurau cuma untuk bercanda. Tak terfikir apa kesan terhadap atmamu. Tak terlintas apakah mungkin terdera emosimu.

Maaf.

Tapi aku mahu tahu, mana kata-kataku yang bertindak laksana pisau, mencarikkan hatimu yang luhur dan sopan dalam berteman? Biar lain kali aku takkan ulangi lagi. Aku rela aku yang terkesan dari kau yang kasihan. Kerana aku terdera bila hati kau ada niat untuk membenci aku.

Kerana aku. Aku dah jatuh sayang pada kau.

Senyap.

Mungkin esok aku akan aturkan. Mengucapkan kata-kata maaf secara literal, meskipun aku tak tahu, mana salah aku?

Diri, kau ternyata banyak lompong yang perlu diperbaiki.

0 Comments